Raja Bomoh Malaysia Pecah Buah Tembikai Untuk Pulihkan Cuaca Panas

Individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh Malaysia sekali lagi mengadakan ritual 'pelik' dengan menggunakan buah tembikai agar fenomena panas melampau yang sedang melanda negara dapat dipulihkan.

Ritual Pulihkan Cuaca Panas dengan Buah Tembikai oleh Raja Bomoh Malaysia

Dalam ritual yang diadakan di ibukota pada Isnin, individu yang dikenali sebagai Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin itu bersama empat orang pengikutnya turut membacakan surah Yassin dan berdoa sebelum memecahkan lima biji buah tembikai sebagai simbolik untuk menyejukkan badan.

“Ayat Yassin dan ayat Nabi Yunus yang dibaca adalah merupakan petua orang zaman dahulu dan buah tembikai (sebagai simbolik) untuk menyejukkan badan, bumi dan udara supaya fenomena panas yang berlaku dapat dipulihkan. Semoga dengan petua ini dapat menyejukkan udara rakyat berbilang kaum dan bangsa di Malaysia.

Kami kumpulan Datuk Ibrahim Raja Bomoh Sedunia berdoa dengan anak muridnya untuk menyelamatkan masyarakat berbilang kaum dan bangsa agar cuaca panas dapat dikurangkan dengan izin Allah” ujarnya ketika ritual tersebut diadakan.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan cuaca panas dan kering ini akan berakhir pada Mei atau Jun, dengan suhu dijangka paling panas esok kerana fenomena ekuinok.

Ekoran daripada itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya telah mengemukakan cadangan dan garis panduan bagi menghadapi cuaca panas melampau kepada Kabinet.

Ia membabitkan tindakan yang perlu diambil merangkumi keperluan untuk menutup sekolah, catuan air, pembenihan awan dan aspek kesihatan.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan sebelum ini telah mengharamkan upacara pembomohan yang dilakukan Ibrahim.

April lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut memutuskan dalam mesyuaratnya untuk mewartakan ritual bomoh kontroversi itu sebagai sesat dan haram.


0 Komentar untuk "Raja Bomoh Malaysia Pecah Buah Tembikai Untuk Pulihkan Cuaca Panas"

Sila komen menggunakan bahasa yang molek.
Tolong jangan buat spam kat sini ye. Terima kasih.

 
Copyright © 2014 Cetusan Suara - All Rights Reserved
Template By Catatan Info