30 April 2014

Pentingnya Sarapan Pagi

Sarapan pagi merupakan perkara yang sepatutnya dijadikan rutin setiap hari. Sarapan pagi satu kemestian yang tak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi tenaga kepada badan kita dan juga otak supaya dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih cerdas dan produktif.

Ramai tak sedar pentingnya sarapan pagi untuk kesihatan. Memulakan hari dengan sarapan membantu kita menjadi cergas, berfikir dengan cerdas dan aktif sepanjang hari.

Bangun awal pagi

Bila kita bangun tidur, paras glukosa dalam darah agak rendah. Jadi, dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sewaktu sarapan pagi akan membekalkan kita tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari dengan cergas.

Sarapan pagi juga bukan sekadar untuk mengisi perut malah terbukti berkesan untuk mengurangkan berat badan seseorang. Satu kajian dalam Jurnal Penyelidikan Obesiti mendapati bahawa sebanyak 78% daripada responden telah berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan hasil daripada pengambilan sarapan pagi secara berterusan.

Justeru itu, sarapan pagi bukan sekadar untuk menambahkan tenaga tetapi juga dapat menimbulkan "mood" yang baik, menghasilkan sikap yang positif, mental yang baik dan juga membantu untuk seseorang yang menjaga penampilan badan.

Sarapan mengurangkan berat badan

Sarapan pagi tidak dapat digantikan dengan makan tengah hari. Oleh itu, cuba usahakan juga mencari waktu untuk bersarapan pagi walaupun hanya dengan segelas susu. Makan lebih pada waktu tengah hari juga tidak dapat menggantikan keistimewaan bagi yang bersarapan pagi. Ini kerana tabiat ini juga akan menimbulkan masalah kesihatan.

Tidak mengambil makanan pada waktu pagi bermakna seseorang telah "skip meal" yang menyebabkan kecenderungan makan lebih banyak selepas itu. Ini disebabkan tahap kelaparan yang tinggi akibat tidak mengambil sebarang makanan pada waktu sebelumnya menyumbang kepada makan lebih banyak karbohidrat yang dapat memberikan tenaga.

Situasi inilah yang menyebabkan seseorang mengambil kalori yang berlebihan dan akhirnya menyumbang kepada masalah obesiti.

Obesiti

Tidak mengambil sarapan pagi tidak akan bermakna seseorang akan menjadi langsing. Ada segelintir berpendapat bahawa sarapan pagi hanya akan menyebabkan gemuk. Tanggapan picisan ini menyebabkan mereka tidak mengambil sarapan pagi. Mereka telah membuat kesilapan yang besar kerana menganggap pengambilan makanan pada waktu sarapan pagi akan menyebabkan peningkatan dalam pengambilan kalori.

Hakikatnya, sarapan pagi dapat mengelakkan seseorang makan berlebihan apabila tiba waktu makan tengahari. Pada hari ini, barangkali ramai di antara kita yang tidak mengambil sarapan pagi kerana membuat alasan waktu yang terhad dan menganggapnya ia tidak penting. Memperuntukkan waktu untuk bersarapan adalah kunci utama kepada permulaan hari yang baik dan kehidupan yang sihat. Maka, pemilihan makanan untuk bersarapan juga perlu dititikberatkan.

Penyediaan makanan untuk bersarapan pagi seharusnya tidak menjadi penghalang. Ini kerana penyediaan hidangan yang ringkas dapat membantu seseorang yang kesuntukan masa.

Jika dilihat pada hari ini, masyarakat Malaysia seolah-oleh menjadikan budaya bersarapan pagi dengan nasi lemak, roti canai dan teh tarik. Ia mungkin tidak mendatangkan masalah jika diambil sekali sekala sebagai pengubah selera tetapi perlu dielakkan jika ia dijadikan satu hidangan wajib pada setiap hari. Ini kerana bersarapan hanya untuk mencetuskan tenaga dan cukup ia sekadar dengan hidangan ringkas yang pelbagai pada setiap hari.

Sarapan pagi cereals

Bijirin sarapan dengan susu, atau ditambah dengan buah amat senang untuk disediakan tetapi ia cukup mendatangkan manfaat bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa. Islam menyarankan umatnya agar bersahur apabila hendak berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Bagi yang berpuasa, bersahur ibarat mengambil sarapan pagi. Justeru, amalan ini bukan hanya mendatangkan manfaat kepada kesihatan malah ia juga digalakkan dalam Islam. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, "Bersahurlah kamu walau dengan seteguk air". Akhirnya manfaat itu akan kembali kepada pengamalnya sendiri.

Oleh itu, jangan dipandang remeh waktu bersarapan pagi walau sekadar segelas minuman yang digemari dan sekeping roti juga mampu memberi perubahan yang ketara. Cuba jadikan tabiat bersarapan pagi yang sihat sebagai azam pada tahun baru ini, semoga ia terus menjadi satu amalan yang akhirnya menyumbang kepada kesihatan dan keabdian diri kepada Pencipta.

Sumber: ikim.gov.my

Blogger sepenuh masa berasal dari Kelantan. Bekerja sendiri. Sudah berumahtangga. Menulis di blog sejak tahun 2008.

1 comment(s) so far

Aku dah sarapan tadi.. Bleh kurus la lepas ni.. Kih3..

Sila komen menggunakan bahasa yang molek.
Tolong jangan buat spam kat sini. Terima kasih.
EmoticonEmoticon